NASIHAT

MENGAPA KITA PERLU MEMBACA DAN MEMAHAMI ALQURAN?
 
   Hidup kita sebagai Muslim adalah berkenaan dengan perjanjian kita kepada Tuhan dan perjanjian Tuhan kepada kita. Dokumen kontraknya adalah Al-Quran. Jika kita kata kita percaya kepada Al-Quran, maknanya segala isi kandungan Al-Quran secara automatik mengikat kita dalam konteks perjanjian kita dengan Tuhan dan mengikat Tuhan dalam konteks perjanjian Tuhan dengan kita.

   Kedua-dua belah pihak, Tuhan dan kita perlu komited kepada perjanjian ini dan semua klausa yang terkandung di dalam Al-Quran merupakan komitmen-komitmen yang perlu ditunaikan sepenuhnya oleh kedua-dua belah pihak.

   Apabila kita faham konsep ini, maka kita akan sedar bahawa kitab-kitab lain, selain Al-Kitab langsung tidak relevan dalam perjanjian kita dengan Tuhan – Tuhan dengan kita. Kita hanya perlu komited terhadap komitmen-komitmen yang telah diwahyukan kepada kita melalui Al-Quran.

   Ia seperti kita mempersetujui perjanjian kontrak yang biasa juga, misalnya perjanjian kontrak dalam perniagaan. Sebaik saja persetujuan dicapai, kedua-dua belah pihak perlu mengisytiharkan persetujuan mereka dan dalam konteks perjanjian sesama manusia seperti itu, ia disahkan melalui tandatangan, cap jari dan sebagainya.

   Kemudian kedua-dua pihak perlu komited ke arah mencapai matlamat perjanjian mereka. Dan komitmen-komitmen mereka adalah kepada melaksanakan atau merealisasikan atau berpegang teguh segala perincian, terma, syarat dan semua klausa yang terkandung di dalam dokumen perjanjian berkenaan.

   Oleh kerana Al-Quran menggariskan semua komitmen yang perlu kita tunaikan kepada Tuhan maka sudah tentulah kita perlu membaca dan memahaminya, satu persatu. Secara common sense, ia adalah perkara pertama yang kita perlu lakukan sebaik saja kita masuk ke dalam perjanjian ini. Tidak mungkin kita dapat menunaikan segala komitmen yang terkandung di dalam Al-Quran tanpa kita sendiri membaca dan memahaminya.

   Dan saya percaya jalan yang terbaik untuk memahami Al-Quran adalah dengan usaha atau inisiatif kita sendiri. Kita harus ingat bahawa perjanjian kita dengan Tuhan adalah satu perjanjian peribadi di antara kita dan Pencipta kita. Ia tidak melibatkan orang lain. Oleh itu kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada tafsiran orang lain. Mereka mungkin tidak ada niat untuk mematuhi perjanjian mereka sebagaimana kita. Kita tidak boleh ambil mudah dalam perkara sepenting ini.

   Sebagai penutup kepada artikel pendek ini, jika anda masih belum faham apakah pada dasarnya komitmen-komitmen yang perlu kita tunaikan sebagaimana terkandung di dalam dokumen perjanjian kita dengan Tuhan, iaitu Al-Quran, ia adalah tentang mematuhi cara atau jalan hidup yang telah Tuhan tetapkan kepada kita.

   Dan apakah pula komitmen Tuhan kepada kita? Komitmen Tuhan adalah untuk memberi balasan yang adil kepada setiap perbuatan kita. Yang baik walaupun hanya seberat atom akan diberi ganjaran baik dan yang buruk walaupun hanya seberat atom akan di beri balasan buruk. Itulah janji atau komitmen Tuhan kepada kita.

   Berita baiknya adalah Tuhan kata, kalau kita ikut Al-Quran kita pasti akan selamat. Mudah saja, kan? Jadi mari kita sama-sama mula membaca dan memahami Al-Quran sebagaimana sepatutnya..

Antara Kelebihan Membaca Al-Quran

Firman Allah S.W.T : “Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa”.

Jelas dari ayat diatas bahawa Al-Quran ialah sebuah kitab yang memberi petunjuk bagi orang yang bertaqwa. Ini kerana terdapat dari kalangan manusia yang tidak mendapat petunjuk dari Kitab suci Al-Quran kerana tidak mengetahui hakikat kelebihan membaca Al-Quran.

Sebuah Hadis diriwayatkan Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
"Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia".

Sebuah hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:
Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w bersabda:“Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik”. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. “Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.”

Hakikatnya kelebihan membaca Al-Quran tidak dapat disangkal lagi kerana ianya ialah Kalamullah yang suci dan tiada celanya.

Daripada Ibnu Umar r.a berkata: “Rasulullah s.a.w telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.”

Daripada Ibnu Masud r.a telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :
"Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf."

Diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang membaca Al-Quran sepuluh ayat dalam satu malam tidak dimasukkan ke dalam golongan yang lalai".

Hadis dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
"Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi daripada cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini"

Jadi bayangkanlah bagaimana pula orang yang dirinya sendiri mengamalkan dengannya. Al-Quran juga dapat memberi syafaat (pertolongan) yang paling tinggi di sisi Allah S.W.T di hari Kiamat.

Ini berpandukan kepada Hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
"Tidak ada syafaat yang paling tinggi melainkan Al-Quran yang bukan Nabi dan bukan malaikat dan sebagainya."

Hadis lain daripada Othman Ibnu Affan r.a dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
"Sebaik-baik kamu yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain."

KERUGIAN BAGI ORANG YANG TIDAK MENGETAHUI KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN

Dalam hadis Rasulullah s.a.w baginda ada menyebut tentang orang yang tidak ada langsung membaca Al-Quran dan rongga mulutnya kosong dengan ayat-ayat Al-Quran seperti rumah yang kosong dari penghuni.

Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:
"Sesungguhnya orang yang tidak ada pada rongganya sedikitpun daripada Al-Quran seperti rumah yang ditinggalkan kosong"



No comments:

Post a Comment